Entah apa yang berada di fikiran pemuda bernama Muhammad Wahyu Arya Pratama, berusia 21 tahun ini. Tinggal beberapa bulan lagi untuk bernikah, dia nekad dan tergamak memperkosa tunangnya sendiri di sebuah rumah kosong. Lebih teruk lagi, Wahyu melakukan serangan seksual itu menggunakan kekerasan, lapor portal Berita Bersatu.
Ketua Polis Daerah Musi Rawas, Efrannedy berkata, suspek telahpun ditahan pada 27 Oktober 2020 selepas ibu bapanya melaporkan perbuatan keji anak mereka itu.
Dalam keterangannya, suspek mengaku telah merogol mangsa atau tunangnya pada 14 Oktober 2020. Sebelum kejadian, Wahyu telah datang ke rumah dan meminta izin dari ibu bapa mangsa untuk membawanya keluar berjalan-jalan. Setelah diberi keizinan, suspek membawa mangsa berjalan-jalan dan membeli soto.
Menurut bapa mangsa, Akbar, suspek diberi keizinan disebabkan lelaki itu dengan anaknya sudah lama bertunang.
"Kami beri keizinan kerana suspek itu tunangnya. Tapi tak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu," kata Akbar kepada wartawan.
Di pertengahan jalan, suspek memberhentikan kenderaannya dan mengajak mangsa masuk ke sebuah rumah kosong. Mangsa menolak dan tindakannya itu membuatkan suspek berang lalu memaksa dan menarik tangannya.
Suspek mengangkat badan mangsa dan menghempasnya ke lantai dalam rumah kosong itu sebelum menekup mulut dan memulas tangannya sehingga mangsa tidak berdaya melawan.
Enggan mengalah, mangsa cuba melawan dan melarikan diri, tetapi pakaian dan rambutnya sempat ditarik oleh suspek sehingga terjatuh dan tidak sedarkan diri. Ketika itulah Wahyu mula melakukan perbuatan keji tersebut terhadap tunangnya.
Selesai melampiaskan nafsu, Wahyu menghantar mangsa pulang. Mangsa terus menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya, lalu segera pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis.
Wahyu mengakui perbuatannya akibat terpengaruh dengan nafsu syaitan. Dia kini bakal berdepan dengan tindakan undang-undang dan hukuman penjara maksimum 12 tahun.