Loading...
TR

'Saya menunggu kepulangan mereka' - Suami hilang isteri dan 3 anaknya yang maut dalam kemalangan


Empat maut dan dua lagi cedera parah dalam selepas kereta yang dinaiki sekeluarga itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 161.3 Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur, dekat Maran hari ini, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 8.49 pagi itu, mangsa, Azian Abdullah, 50, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Adriana, 15, dan Mohamad Danish Najmi, 10, maut serta-merta di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala, manakala dua lagi mangsa, Mohd Shahrul Ikhram, 20, dan Fatin Nur Athirah, 19, parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh. 

Kesemua mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, Kemaman selepas membeli belah di ibu negara untuk menyambut Aidilfitri, sebelum kenderaan mereka terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan. 

Akibat rempuhan itu, empat mangsa tersepit dan cedera di bahagian kepala dan badan dalam kereta yang remuk. 

Pihak Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi kejadian terpaksa menggunakan mesin pemotong hidraulik untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit. 

Empat mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. 

Mazlan Mohd Rashid, 54, tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui isteri dan tiga anaknya telah pergi buat selamanya dalam kemalangan itu. 

Menurut Mazlan, saat akhir ketika dia bersama keluarganya, dia memberitahu enam beranak itu bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan memaklumkan ingin membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal. 

"Saya kebiasaannya tidak ikut (pergi membeli belah) dan beri keizinan kepada isteri dan anak-anak untuk keluar membeli belah. 

"Saya di Kemaman menjalankan perniagaan runcit dan menunggu kepulangan mereka sahaja membawa pakaian yang dibeli. 

"Kali terakhir isteri telefon pada jam 11 malam tadi memaklumkan mereka akan bertolak balik ke rumah. Saya difahamkan mereka juga ada singgah di kawasan rehat dan rawat Temerloh untuk berehat. 

"Tiba-tiba pagi ini saya dimaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan," katanya yang juga reda dengan pemergian isteri dan anak mereka pada bulan Ramadan ini. 




Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu Mohd Shahrul Ikhram dari arah Kuala Lumpur menuju ke rumah mereka di Kemaman sebelum terbabas. 

Perodua Myvi itu dikatakan terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi bahagian hujung pembahagi jalan sebelum besi itu menembusi kenderaan keluarga berkenaan yang menyebabkan mereka semua tersepit. 

Ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik dan jalan lurus menuruni bukit. 

Polis sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






About Cite Malaya

Powered by Blogger.