Media sosial masih lagi hangat membincangkan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan dalam bidang ekonomi dan kewangan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan bahawa tidak mungkin anak sulungnya itu akan menyalahgunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.
Anwar yang juga Presiden PKR sekali lagi mengulangi Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun untuk kerja yang dipertanggungjawabkan itu.
"Tidak ada kemungkinan dia menggunakan kedudukan itu untuk mengumpul kekayaan dan mempengaruhi keputusan mengenai tender, kontrak atau projek.
"Ya, saya perlukan pengalamannya untuk membantu saya. Tetapi biar saya tekankan bahawa dia berada di sana adalah untuk melindungi dan meneruskan agenda tadbir urus yang baik tidak boleh merosakkan," katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Pengerusi Biro PKR di ibu pejabat PKR, semalam.
Dalam masa sama, Anwar turut menyindir pihak-pihak yang mengkritik keputusannya itu, tetapi menganugerahkan kontrak ratusan juta atau berbilion ringgit kepada anak lelaki atau menantu atau kroni semasa mereka berkuasa.
Namun, Anwar tidak menyatakan sebarang nama apabila ditanya siapakah bekas pemimpin kerajaan yang dimaksudkannya itu.
Sumber: Harian Metro