Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana menunjukkan kemaluannya terhadap dua wanita bersaudara semasa menunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek direman selama empat hari sehingga 9 Februari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Dalam kejadian 5 Februari, pengadu, Nur Wahida Ahmad, 27, bersama dengan anak saudaranya berusia 20 tahun terserempak dengan suspek, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Keda, Sungai Udang, selepas pulang dari kursus kulinari di Guar Chempedak dengan menunggang motosikal.
Suspek yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran bersebelahan dengan mereka kemudian membuka zip seluar dan memegang kemaluannya.
Pengadu sempat merakam aksi suspek dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan untuk tindakan lanjut.
Nur Wahida mengakui dia masih trauma dengan kejadian itu dan menurut maklumat yang diperolehi dari media sosial, ramai wanita lain yang pernah mengalami kejadian yang sama di lokasi tersebut.
Sumber: Harian Metro