Awal pagi 5 Februari lalu, seorang janda dicekup bersama pasangannya di sebuah hotel bajet di Klebang kerana disyaki berkhalwat.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pihaknya ketika itu sedang menjalankan Operasi Cegah Jenayah Syariah pada malam cuti Thaipusam.
Semasa serbuan, pasangan terbabit didapati tinggal di dalam bilik tersebut secara berdua-duaan tanpa sebarang ikatan yang sah. Mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang mengesahkan mereka mempunyai hubungan suami isteri.
Semasa disoal siasat, janda berusia 32 tahun itu menjelaskan dia baru pertama kali berjumpa dengan teman lelakinya yang lebih muda 10 tahun daripadanya.
Mereka berkenalan melalui media sosial sejak tiga bulan lalu dan merancang untuk berkahwin, selain akan ke Kelantan pada hari itu untuk bertemu dengan keluarga teman lelakinya.
Bagaimanapun, belum sempat bertemu dengan bakal mertua, mereka dicekup berkhalwat di hotel bajet tersebut.
Selain pasangan itu, dua lagi pasangan lain turut ditahan kerana disyaki tinggal bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim. Kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 50 tahun.
Tiga pasangan berkenaan dibawa ke pejabat JAIM untuk diambil keterangan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Sumber: Harian Metro