Foto Hiasan Sahaja |
Menyesal serahkan tubuhnya kepada teman lelaki yang dikenalinya melalui media sosial, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, tampil membuat laporan polis.
Menurut mangsa, dia mengenali teman lelakinya berusia 19 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah, melalui Facebook pada Februari lalu ketika berada di rumah neneknya. Mangsa tinggal bersama neneknya sejak dari kecil selepas ibu bapanya bercerai.
Pada hari kejadian (Mac), lelak itu datang ke rumah neneknya dan memujuk mangsa untuk melakukan hubungan seks. Suspek dipercayai telah mengugut akan meninggalkan mangsa sekiranya dia tidak menerima permintaan tersebut.
Bimbang ditinggalkan, mangsa terpaksa akur dan melakukan hubungan seks dengan suspek yang baru dikenalinya sebulan, di rumah neneknya.
Bagaimanapun, timbul perasaan bersalah yang mendorong mangsa untuk menceritakan kejadian itu kepada neneknya sebelum mereka tampil membuat laporan polis.
"Mangsa mendakwa, dia terpaksa mengikut kata-kata teman lelakinya kerana terlalu mencintai tukang rumah itu, selain takut kehilangannya," kata sumber.
Mangsa juga dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.
Sumber: Harian Metro