Loading...
TR

'Yang lain 'Malaikat', jadi saya sajalah yang mengaku bersalah' - Upload video babak panas, Zul Ariffin mengaku bersalah & didenda RM30,000



Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap pelakon, Zulkifli Ariffin atau Zul, 36, yang mengaku bersalah di atas pertuduhan memuat naik video bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu. 


Zul membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.


Dalam pertuduhan itu, Zul didakwa memuat naik video teaser sebuah drama bersiri yang menunjukkan babak panas bersama seorang pelakon wanita di akaun Instagramnya, @zul_ariffin, secara sedar dan dengan niat untuk menyakiti hati orang lain. 


Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588) yang menetapkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. 


Sebelum itu, peguamnya, M Saresh, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum dengan alasan anak guamnya perlu menanggung dua ahli keluarga iaitu bapanya berusia 74 tahun dan seorang kakak berusia 48 tahun. 


Tertuduh juga baru pertama kali melakukan kesalahan tersebut dan mengakui menyesal dengan perbuatannya memuat naik video itu yang memberi kesan mental kepada diri dan keluarganya. 


Selain itu anak guamannya adalah pelakon yang banyak menyumbang kepada industri seni tempatan selain pernah memenangi beberapa anugerah. 


Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzli, meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar kesalahan itu menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut. 


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 dan penjara sembilan bulan tambahan jika gagal melunaskan denda berkenaan. 


Zul memilih untuk membayar denda itu, hari ini. 


TANGGUNG KESALAHAN SEORANG DIRI, YANG LAIN MALAIKAT


Selepas selesai perbicaraan, Zul yang ditemui media di luar mahkamah berkata, hanya dia seorang sahaja yang menanggung kesalahan itu. 


"Tiada tindakan (terhadap pihak yang meminta dia memuat naik video berkenaan) sebab orang lain yang terbabit semuanya 'malaikat', saya seorang saja tidak. Jadi, saya sajalah yang mengaku bersalah. Tak mengapa. 


"Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Disebabkan itu, jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua orang di luar sana termasuk pelakon. 


"Kalau disuruh muat naik apa-apa kandungan, tidak perlulah beriya-iya sangat. Betul tak? Kalau disuruh juga untuk tujuan promosi, tolong berhati-hati dan jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar selfie pun sudah memadai. Tak rugi apa pun," katanya yang lega dengan keputusan mahkamah dan enggan memanjangkan kes itu lagi. 


TAYANGAN DRAMA PEREMPUAN ITU TETAP AKAN DITERUSKAN


Sementara itu, penerbit drama Perempuan Itu, Erma Fatima berkata, tayangan drama berkenaan akan tetap diteruskan walaupun berdepan dengan kontroversi yang tidak dijangka.


Tambahnya, babak panas yang membabitkan Zul mendukung pelakon Siti Hariesa dari depan, tidak akan dimasukkan kerana tidak sesuai. 


"Drama ini memang akan ditayangkan dan kami sedang menunggu tarikh tayangan. Bagi saya drama ini memang tiada masalah sebenarnya. Kita tak boleh terlalu cepat menghakimi hanya kerana satu video yang tular sampai mahu menghukum drama itu. Tak adil bagi saya," katanya. 


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.