Cubaan seorang lelaki warga asing berumur 50 tahun menyamun mangsa yang juga warga asing berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya maut selepas bergelut dalam kejadian samun di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.08 pagi berhubung kejadian itu dan mengerahkan sepasukan anggota polis ke lokasi.
Siasatan di lokasi menemui suspek tertiarap di atas jalan raya dengan sebilah sabit panjang di genggaman tangan kanannya, manakala mangsa samun berusia 48 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum kejadian, suspek telah datang ke premis lalu bertindak menyerang menetak mangsa menggunakan sabit panjang beberapa kali. Mangsa kemudian mengambil sebuah kerusi plastik untuk mempertahankan diri.
Video kejadian boleh tonton di SINI.
Suspek secara tidak sengaja telah menetak dirinya sendiri di bahagian paha kaki kiri dan terus berlari ke luar premis sebelum tumbang di atas jalan raya kira-kira 36 meter dari premis tersebut.
Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh yang datang ke lokasi mengesahkan suspek telah mati. Mangsa yang dibawa ke hospital juga disahkan telah meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan samun yang menyebabkan kematian. Kes dianggap selesai memandangkan mangsa dan suspek telah meninggal dunia.
Sumber: Kosmo Online