Tidak perlu haramkan aktiviti basikal lajak, sebaliknya sediakan litar untuk penggemar aktiviti berkenaan, demikian kata Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Mudzahar Makhtar.
Mudzahar berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan keselamatan penunggang basikal lajak itu terjamin sekiranya kerajaan menyediakan satu kawasan atau litar khusus untuk aktiviti tersebut.
"Sebelum ini kita lihat banyak masalah timbul di jalanan apabila penunggang basikal lajak ini beraksi sehingga mengganggu lalu lintas.
"Memang mereka tidak sepatutnya beraksi di jalan raya, tetapi di manakah tempat yang sesuai untuk mereka menjalankan aktiviti tersebut?
"Sebab itu kerajaan perlu lihat balik perkara ini, jika ia perlukan satu kawasan khas, maka kerajaan perlu fikirkan inisiatif yang sesuai," katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
Selain itu katanya, minat dan hobi itu tidak boleh dihalang kerana ia hanya bersifat sukan berbasikal semata-mata. Malah minat kanak-kanak dan remaja terhadap aktiviti itu perlu disokong semua pihak tetapi dengan cara yang bersesuaian.
Sumber: Sinar Harian