Loading...
TR

'Saya rasa saya akan mati' - Koma selepas dicakar kucing, jalani 8 pembedahan kerana dijangkiti penyakit pemakan daging


Seorang wanita warga emas koma setelah dicakar oleh seekor kucing. Shirley Hair, 65, hampir menemui ajal apabila kucing Siam bertindak mencakar tangannya dan menyebabkan jangkitan kuman berlaku. 

Nenek kepada lima orang cucu itu pada awalnya mengalami pening kepala, hilang selera makan dan sakit otot. Dia menyangkakan simptom-simptom itu disebabkan oleh selesema. Tetapi, dia terus bergegas ke Hospital Southmead, Bristol setelah mendapati luka tersebut menjadi kemerahan dan telah merebak dari tangan hingga ke lengannya. 

Doktor kemudian mengesahkan dia terkena sepsis, kejutan septik, kegagalan organ, pneumonia dan Necrotizing Fascilitis (NF) - penyakit pemakan daging yang mengakibatkan kematian bahagian-bahagian tisu lembut yang boleh membawa kepada kematian.


Doktor telah melakukan pembedahan kecemasan bagi menghilangkan tisu yang dijangkiti dari tangannya sebelum Shirley diletakkan dalam koma, untuk membolehkan tubuhnya berehat seketika. Shirley menghabiskan lima hari dalam koma, lebih daripada enam minggu di hospital dan menjalani pembedahan.

Shirley, seorang penjaga yang telah bersara, tinggal bersama suaminya, Bob, 69, bekas pengurus kedai pertaruhan, berkata, ''Kucing itu selalu bersikap sombong, dia jual mahal! Pada hari dia mencakar saya, saya sedang berkebun. Saya cuba mengambil dan memeluknya tetapi kucing itu tidak mahu.

“Kesan cakaran itu agak dalam, tetapi saya tidak berfikir banyak sehinggalah saya mula mendapat gejala seperti selesema dan hilang selera makan.

"Doktor memberi saya ubat antibiotik, tetapi selepas beberapa hari saya berasa lebih teruk daripada sebelumnya. Kemudian lengan saya mula merah dan mula membengkak dengan cepat. Ia sangat menakutkan. Saya tergesa-gesa ke hospital dan saya ketakutan kerana pada ketika itu baru saya sedar ini adalah sesuatu yang sangat serius.

"Pakar perubatan sangat mengagumkan, tetapi selepas pembedahan kecemasan dilakukan, kesihatan saya semakin merosot. Saya rasa saya akan mati. Saya tidak percaya ini semua boleh berlaku dari hanya cakaran," katanya.​


Shirley membeli kucing itu di Frampton Cotterell, South Gloucestershire, pada Julai 2016, ketika dia melihat iklan di Gumtree. Pada mulanya kucing itu agak ketakutan dan tidak suka dikawal tetapi apabila dia semakin membesar, dia suka menggigit penjaganya.

"Dia comel dan kami fikir dia akan menjadi pelengkap kepada keluarga kami. Kami mempunyai kucing Siam sebelum ini dan tahu bahawa mereka boleh menjadi agak agresif, tetapi apabila berfikir cinta dan kasih sayang, dia akan menjadi haiwan kesayangan keluarga yang sempurna," katanya.

Selain itu, Shirley juga mengalami dua serangan jantung selepas menjalani pembedahan itu. Doktor terpaksa menenangkan dan menukarkannya ke ICU selama hampir sebulan sebelum dia mula menunjukkan tanda-tanda positif. 

Doktor berkata bahawa penyakit Shirley disebabkan oleh cakaran kucing yang telah mendedahkan badannya kepada NF (pemakan daging).

Pam vakum, mesin yang digunakan untuk mengurangkan tekanan udara pada luka Shirley. Ianya dipasang untuk membantu tisu kulit tumbuh dan dia diberikan sesi fisioterapi untuk membantunya bergerak semula seperti orang normal.

Selepas lebih daripada lapan pembedahan dan dua bulan di hospital, wanita itu kini berada di rumah dan tangannya hampir pulih. Kejadian yang berlaku pada dirinya dirasakan bagaikan mimpi ngeri. 

Kucing itu kini dipelihara oleh Zoe, anak perempuan Shirley. 

Sumber: Daily Mail

About Cite Malaya

Powered by Blogger.