Loading...
TR

'Saya tinggalkan Bangladesh, bekerja di Malaysia tanpa cuti sejak 27 tahun lalu demi keluarga'


27 tahun meninggalkan rumah dan keluarga demi mencari rezeki di negara lain biarpun terpaksa meninggalkan anak bongsunya berusia enam bulan yang sentiasa dirindui. 

Abu Bakar namanya, bekerja tanpa cuti sakit dan cuti rehat. Semuanya demi keluarga. Besarnya pengorbanan lelaki ini, demi melihat keluarganya senang dan masa depan anaknya cerah. 

SAYA meninggalkan tanahair saya, Bangladesh, 27 tahun lalu ketika anak kelima saya berusia enam bulan dan sehingga kini belum pernah pulang ke rumah. Saya rindukan keluarga dan begitu juga mereka yang merindui saya. Ini (pengorbanan) adalah untuk mereka, untuk masa depan mereka. 

Saya datang ke Malaysia sebab saya mendapat tahu ada banyak peluang pekerjaan di sini. Biarpun kerja yang dilakukan itu adalah kerja yang tidak mahu dilakukan oleh orang lain, saya akan buat. 

Saya bekerja tujuh hari seminggu, 365 hari setahun sejak 27 tahun lalu. Saya tidak pernah mengambil cuti sakit atau cuti rehat dan saya masih punyai kudrat, inshaAllah. 

Keperluan saya mudah sahaja. Saya kirimkan wang kepada keluarga saya. Saya bangun, mandi, bersarapan pagi dan pergi bekerja. Selesai bekerja, saya balik dan berbual dengan keluarga melalui telefon bimbit, berehat dan begitulah rutin pada hari seterusnya. Malah saya juga ada rakan yang baik di sini. 

Salah seorang anak perempuan saya kini bekerja sebagai hakim, seorang lagi bekerja sebagai doktor dan anak lelaki saya adalah jurutera. Saya bersyukur dengan pencapaian mereka. 

Disember ini, saya akan pulang ke rumah (Bangladesh) dan akhirnya dapat bertemu dengan keluarga saya semula. Kepulangan saya ini juga merupakan kali pertama saya bertemu dengan dua orang cucu saya. 

Saya tak sabar menunggu hari itu tiba. 

Abu Bakar adalah tukang pembersihan berusia 70 tahun yang bekerja di Klang Parade. Dia adalah antara pekerja lama dalam kru pembersihan. 

Gambar ini dirakam di Klang Parade ketika kru berkenaan meraikan pencapaian mereka yang memenangi anugerah Tandas Awam Paling Bersih di Klang (Mall) yang diberi oleh Majlis Perbandaran Klang. 

Gambar dirakam oleh jurufoto Ariel Chew, disunting oleh Mushamir Mustafa. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.