Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bertindak membunuh diri selepas bertengkar dengan bapanya ketika bermain permainan League of Legends; pada malam hari ulangtahun kelahirannya, lapor Next Shark.
Insiden yang berlaku pada 23 Mac lalu di Changhua, Taiwan itu, remaja yang dikenali sebagai Cheng bertengkar dengan bapanya kira-kira jam 9:30 malam.
Menurut laporan media tempatan, lelaki itu memarahi anaknya bermain permainan tersebut berbanding mengulangkaji pelajarannya berikutan peperiksaan bakal tiba pada 26 Mac ini.
Cheng yang tidak mengendahkan teguran itu menyebabkan bapanya bertindak memadamkan palam suis komputer membuatkan remaja itu berang.
Selepas bapanya keluar dari bilik, Cheng terjun dari tingkap kediamannya di tingkat tiga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Kejadian itu hanya disedari oleh datuk Cheng selepas mereka tiba di kediaman tersebut pada malam kejadian.
Difahamkan, datuk mangsa tiba di rumah keluarga itu pada jam 10:30 malam dan menemui Cheng terbaring di luar rumah dalam keadaan berdarah di bahagian kepala.
Paramedik bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan Cheng terus dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada jam 3:00 pagi.
Cheng, pelajar tahun tiga yang tinggal bersama kakak dan bapanya di rumah serta Cheng merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya. Namun, mangsa yang tertekan dengan peperiksaan yang bakal tiba lebih banyak menghabiskan masa bermain permainan video dan lama-kelamaan menjadi minat menyebabkan perangainya berubah.
Selepas kejadian tragik itu, pengetua sekolah Cheng memaklumkan kejadian itu dan ramai rakan dan guru datang menghadiri majlis pengebumian mangsa pada 24 Mac lalu.