Viral di media sosial beberapa gambar ruang pameran di IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang yang baru saja dibuka tidak sampai sebulan telah dicemari dengan sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab sehingga memalukan imej orang utara.
Gambar yang dirakam Kelvin Soon itu menunjukkan ruang pameran bersepah dengan selimut diselerakan, mainan kanak-kanak tidak diletakkan di tempat asal, cermin pecah, kotoran najis di lantai, meja makanan di medan makan dibiarkan begitu sahaja tanpa dikemaskan dan banyak lagi.
"Saya lihat tempat ini dah seperti lokasi kes r***l. Selimut tercabut dari katil, bantal berselerak di lantai. Orang yang rumahnya pernah dirompak saja familiar dengan keadaan bersepah seperti ini," kata Kelvin di Facebooknya sebelum dipadamkan.
Sementara itu di media sosial, netizen yang menyelar tindakan pengunjung tidak bertamadun itu yang tidak ubah seperti kejadian di IKEA China sebelum ini.
"Aku pergi selepas seminggu IKEA Batu Kawan dibuka. Selimut berselerak habis, hiasan penuh diselit dengan plastik cekedis. Anak-anak dibiar panjat katil dengan kasut tak dibuka. Mak bapak buat muka bodoh saja.
"Bila ditegur, buat besar kepala dan kata itu bukan rumah aku. Memanglah bukan rumah aku, dah tu rumah dia ke nak buat macam tu sekali?
"Di tempat makan pula, peringatan dah ditulis sebesar alam. Sudah habis makan, susun pinggan mangkuk letak dalam dulang. Tetapi puak-puak ini tinggalkan meja dalam keadaan bersepah.
"Nak kata tak sekolah, sekolah. Tetapi mentaliti macam ni nak first world class facilities? Pui!" kata netizen.