Jalan Pintasan Rawang (Rawang Bypass) baru saja dibuka untuk kegunaan orang awam pada 29 November lalu, malangnya sudah ada tangan yang gatal mencemari tembok lebuh raya yang dibina dengan kos RM630 juta itu dengan seni graffiti.
Gambar yang dimuat naik laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia (BJRM), mengundang pelbagai reaksi netizen yang kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit.
"Apa kejadahnya? Inilah kesan yang dikatakan umpama kera mendapat bunga. Tidak sampai seminggu Jalan Pintasan Rawang FT37 dibuka, sudah ada kesan contengan oleh spesis beruk berbaju dan berseluar."
Sementara itu, Lawalah Familia, yang namanya turut terpalit dalam gambar berkenaan tampil memohon maaf bagi pihak peminatnya yang melakukan vandalisme tersebut.
"Kami Lawalah Familia ingin memohon maaf secara terbuka bagi pihak peminat kami yang melakukan vandalisme. Apa yang berlaku adalah di luar kawalan kami," kata kenyataan kumpulan muzik itu di Facebook rasminya semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka juga turut mengecam tindakan individu terbabit yang telah mencemarkan imej mereka secara tidak langsung.
Di media sosial, netizen juga mengecam tindakan perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu.
"Rakyat kita masih mundur dari segi pemikiran. Lihatlah MRT baru tu, habis duit nak repair ekoran vandalisme. Tak tahu dah nak buat apa dengan orang kita ini," - Izzo Jackster.
"Lawa ke tak lawa ke, tak boleh macam ni. Kalau kita tak strict, then every shithead with a spray can akan ambil mudah conteng kemudahan awam. Vandalisme adalah vandalisme." - Daud Aiman.