Jangan bereksperimen dengan syampu
SEDAR atau tidak, syampu dan perapi kegemaran yang selama ini kita gunakan sebenarnya boleh menyebabkan kerosakan pada rambut. Syampu yang sesuai sepatutnya dapat memberi khasiat dan kesan sihat pada rambut, bukan sebaliknya.
Berikut beberapa tip dalam memilih syampu dan perapi yang mampu menepati keperluan rambut serta kulit kepala.
1 LEMBAPAN
Ketika memilih syampu, pastikan ia mempunyai kesan pelembap dan jangan bergantung sepenuhnya pada perapi. Dalam cuaca kering, gunakan syampu jenis pelembap dan cuci rambut secara kerap.
Ia boleh membantu memerangkap lembapan secara minimum sebelum beralih ke produk perapian.
2 HANYA SATU
Berbeza kepada kepercayaan popular, jangan cuba atau bereksperimen dengan pelbagai jenis syampu dalam masa yang sama. Sesetengah bahan kimia di dalamnya berbeza antara satu sama lain dan mungkin tidak sesuai dengan kulit kepala anda.
Cari produk yang benar-benar sesuai dan kekal dengan produk itu.
3 MELEKIT
Jika rambut anda jenis berminyak, pilih syampu yang mengandungi ekstrak Jojoba dan pelembap yang minimum. Ia bukan saja dapat membersihkan rambut malah melebatkannya.
Jangan pilih syampu yang kaya dengan minyak tumbuh-tumbuhan kerana ia hanya akan membuatkan rambut akan lembik dan tidak bermaya.
4 BIASA
Andainya rambut anda jenis normal, gunakan syampu yang kaya dengan pelembap seperti ekstrak teh hijau. Bahan seperti ini memastikan rambut sentiasa cantik berkilau.
Bahan lain seperti ekstrak lidah buaya juga elok untuk mengekalkan keseimbangan rambut normal.
5 KERING
Kekurangan lembapan mengakibatkan rambut mengalami masalah kekeringan. Jika berdepan masalah ini, pilih syampu yang mengandungi pelembap tambahan dan protein bagi membantu meningkatkan kelembapan berpanjangan.
6 BOTOL
Jangan terpedaya dengan rekaan botol yang berwarna-warni. Itu sepatutnya menjadi perkara terakhir dalam memilih syampu. Cuba elakkan memilih syampu yang mengandungi terlalu banyak pewarna atau haruman yang menusuk hidung.
7 KELEMUMUR
Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah menggunakan syampu yang mengandungi salah satu daripada bahan-bahan ini - asid salisilik, selenium sulfida dan zink pyrithione.
Ia efektif untuk menanggalkan kulit mati dan membunuh bakteria, sekali gus memberikan kesan rambut yang lebih sihat.
Sumber dari akhbar harian metro
via Bin Usrah