Kebiasaannya, seseorang yang memberi bantuan, derma atau sumbangan, tidak akan sama sekali melontarkan kata-kata yang tidak sewajarnya terhadap golongan yang menerima bantuan tersebut demi menjaga hati mereka. Tetapi berbeza dengan pendakwah agama dalam video yang viral di media sosial ini, mengundang pelbagai reaksi netizen.
"Dah dapat, kamu kata belum dapat. NGO lain sudah bagi kamu, okay lah. Ramai lagi yang susah... Saya bantu kamu semua ini ibu-ibu, saya tidak ada kepentingan sama kamu. Kamu tidak boleh mengundi, betul? Tidak ada IC betul? Kalau kerana nak undi, saya cari orang tempatan lah.
"Ini live ni bang, saya pakai mic ni, live ni. Saya cari orang tempatan kalau mahu undi. Tapi ini bagi (sumbang) sebab kasih sayang. Kena faham ini, kasih sayang sama kamu.
"Saya bukan nak jadi YB, bukan kerajaan, ini persendirian saya buat. Ibu bayangkan, beras ini RM27 campur ini lebih kurang RM50. Kalau hari ini saja RM20, berapa ratus ringgit? RM500 kan? Bukan RM500 ibu, ribu sudah duit.
"Saya nak apa? Saya nak kamu solat saja. Boleh solat? Majoriti tak solat. Abang solat ke bang? Okay, abang baca kepada saya rukun iman berapa? Kamu jangan jawab!" katanya kepada individu lain yang cuba menjawab bagi individu yang diajukan soalan itu.
Namun individu yang disoal hanya dapat menjawab sedikit, lalu pendakwah itu berkata, "Abang baca tak lepas. Abang (yang lain), baca niat solat fardhu maghrib dalam bahasa Arab."
Lelaki kedua itu cuba membaca niat fardhu maghrib dalam bahasa Melayu, tetapi ditegur olehnya.
"Tadi kau bilang kau solat, bahasa Arab lah, mana boleh bahasa Melayu. Saya guru agama bang, ini hafiz Quran ni (menunjuk kepada perakam video). Abang nak suruh dia baca surah apa?" soalnya yang kemudian meminta lelaki itu membaca Doa Qunut.
Lelaki berkenaan akur dan membaca Doa Qunut, tetapi tidak lama selepas itu dia berkata, "Salah bang. Kalau saya tanya Qunut Nazilah lagi berat, haa..".
Di media sosial, ramai netizen yang mengkritik cara pendakwah itu, termasuk Ustaz Syihabudin Ahmad menjelaskan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan caranya dianggap menengking.
"Sebagai orang Muslim, pertuturan/percakapan kita kena jaga. Jangan kita main sembur kata pada orang. Mungkinlah orang ini kata benda ini remeh saja pun. Tapi kita tak tahu di sisi Allah. Takut ia sangat-sangat berat.
"Rasulullah SAW mengingatkan kita:
"Seseorang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun." - Hadis Sahih, Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad.
"Pendakwah, jagalah kata-kata kita. Jangan ingat orang yang datang meminta pertolongan kita lebih hina daripada kita atau kita boleh buat apa saja pada dia. Boleh jadi mereka itu lebih mulia di sisi Allah berbanding diri kita. Jaga adab kita sesama kita, jaga adab kita dengan orang miskin.
"Apabila kita bantu mereka, bantu dengan sesungguhnya. Tak perlu sebut saya tak ada kepentingan ke, saya nak bagi ni bukan sebab nak jadi YB ke, tak perlu. Bahkan tak perlu nak audit amal soleh mereka nak tanya hang solat ke tidak. Bahkan ditanya sifat solat yang betul kepada orang yangg tak tahu.
"Saya fikir, ini satu bentuk pembulian. Awak solat lima waktu, tambah dengan solat Dhuha, anak awak hafiz Al-Quran, anak awak pergi Mekah berkali-kali, itu bukan alasan untuk merendahkan orang lain," katanya.
Sumber: Cari Forum, YouTube Syihabudin Ahmad