Herpes Simpleks Jenis 1 atau dikenali sebagai HSV-1 merupakan satu jenis virus yang menyebabkan jangkitan di bahagian mulut. Virus ini dikatakan menyebabkan kulit melepuh dan sakit-sakit. Virus ini tersebar melalui perkongsian makanan, bercium dengan mereka yang mengalami ulser (cold sore).
Kedengaran virus seperti ini hanyalah virus biasa, tetapi virus ini juga telah menyebabkan kematian seorang bayi yang berusia lapan hari, di California.
Kisah bayi ini mendapat perhatian dunia apabila ibunya memuat naik status sebenar kematian anaknya. Dia turut mengenang kembali detik bersama anaknya yang diberi nama Aliza dan turut membuat satu akaun page di Facebook (Aliza's Story) sempena memperingati kisah anaknya serta memberi ruang kepada sesiapa yang ingin mengikuti kisah Aliza.
Ibu mana yang tidak sedih, anak yang dikandung selama sembilan bulan, akhirnya tewas dengan virus yang disebarkan oleh individu lain. Abigail Rose melalui status di Facebook turut memuat naik wajah bayinya semasa menerima rawatan. Dia menasihati golongan ibu bapa di luar sana agar tidak membiarkan individu lain mencium atau menyentuh bayi sebelum membasuh tangan.
"Virus HSV-1 telah menyerang badan bayi kami terutamanya di tulang belakang dan turut menyerang organ-organnya. Selain itu, ia menyerang bahagian otak yang menyebabkan dia mengalami sawan dan menjadi punca kepada otaknya gagal berfungsi (brain dead).
"Dia berusia lapan hari ketika meninggalkan kami. Dia sihat dan sempurna ketika dilahirkan. Namun ada seseorang yang telah mencium atau menyentuhnya dengan tangan kotor sekali gus meragut nyawanya.
"Jangan biarkan perkara ini terjadi pada anak anda. Jangan cium bayi dan tolonglah basuh tangan anda sebelum menyentuh si kecil," kata Abigail.
HSV-1 yang juga biasanya dikenali sebagai virus selesema biasa. Namun begitu, di sebalik tanggapan itu, virus ini sebenarnya amat berbahaya dan tiada yang menjangkakan ia boleh membawa maut.
Juga diingatkan, virus ini boleh menyebabkan kematian mana-mana kanak-kanak di bawah umur 2 minggu dan ke atas. Berhati-hati ya ibu bapa semua, jangan sentuh atau cium bayi anda sebelum mencuci tangan terlebih dahulu.
Sumber: Abigail Rose, myhealth