Didorong sifat cemburu yang kuat menyebabkan pasangan suami isteri ini bergaduh besar sehingga membuatkan si suami nekad untuk kepala isterinya dengan batu besar.
Dalam kejadian malam Rabu di kediaman pasangan terbabit di Jawa Barat, Indonesia, mangsa, Saniah, 43, mati berlumuran darah di dapur akibat kecederaan parah di bahagian kepalanya yang dihentak dengan objek tumpul dan dikelar dengan pisau.
Selepas kejadian itu, suspek, Arkati, 48, cuba membunuh diri dengan mengelar urat nadinya tetapi gagal dan sempat diselamatkan sebelum dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan.
Menurut anak pasangan terbabit, dia terdahulu terdengar pergaduhan di antara ibu bapanya di dalam rumah. Dia cuba masuk ke dalam, tetapi semua pintu dikunci, menyebabkan dia memanjat atap rumah sebelum mendapati kedua orang tuanya itu sudah bermandikan darah.
Saksi melihat ibunya sudah tidak sedarkan diri dengan kesan luka berdarah di muka, manakala bapanya mengalami pendarahan di bahagian pergelangan tangan.
Anggota polis yang dihubungi orang awam kemudian datang ke lokasi kejadian dan mengambil keterangan dari semua saksi.
Hasil siasatan awal mendapati, pasangan terbabit bergaduh sebelum kejadian itu bertukar menjadi tragedi yang mengakibatkan mangsa maut.
Ketua Polis Cirebon, Suhermanto percaya, motif pembunuhan itu berpunca dari sifat cemburu buta si suami terhadap isteri yang kebelakangan ini berubah dan kurang melayani suspek.
Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
"Polis masih menjalankan siasatan dan merampas bahan-bahan bukti seperti batu, pisau serta akan menyoal siasat suspek selepas keadaannya pulih," katanya.
Sumber: Okezone