Loading...
TR

Lelaki nyaris maut dibelasah 8 lelaki selepas isterinya beri review teruk pada sebuah restoran


CHINA - Gara-gara meninggalkan pandangan yang buruk mengenai makanan dari sebuah restoran baru-baru ini, seorang wanita terkejut apabila suaminya dibelasah sekumpulan samseng dan insiden itu hampir saja meragut nyawa suaminya, lapor Shanghaiist.

Dalam kejadian petang Selasa lalu, Yu dengan beberapa rakannya bermain mahjong di kediamannya. Bagi menjamu rakan-rakannya itu, Yu telah memesan makanan dari sebuah restoran barbeku secara online. Bagaimanapun, Yu dan rakan-rakannya tidak begitu menggemari makanan tersebut kerana rasanya kurang enak dan kurang segar seperti yang diharapkan oleh mereka. 

Keesokkan harinya, Yu mengambil keputusan untuk memberikan pandangan dan ketidakpuasan hatinya mengenai makanan yang dipesan semalam dari restoran berkenaan melalui laman yang digunakannya untuk membuat pesanan makanan secara online. Yu mengadu bahawa dia tidak pernah merasa makanan yang sangat teruk seperti itu sebelum ini. 

Tidak beberapa lama kemudian, Yu menerima panggilan yang bertanyakan adakah dia yang menulis pandangan tersebut. Yu mengesahkan pertanyaan individu berkenaan. Tetapi pemanggil itu tidak ada pula meminta Yu menarik balik pandangan yang telah ditulis.

Sekitar jam 8 malam, tujuh hingga lapan lelaki bersenjata telah menyerang kediamannya dan mula mempersoalkan, menganggu dan mengancam akan mencederakan Yu. 

Terdengar bunyi bising itu, suami Yu segera keluar dan berdepan dengan sekumpulan lelaki terbabit sebelum tercetusnya pergaduhan yang menyebabkan suami Yu dibelasah teruk dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. 

Sekumpulan lelaki itu kemudian segera melarikan diri meninggalkan pasangan terbabit sebelum polis tiba di tempat kejadian.


Suami Yu dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami kecederaan yang serius pada otak. Bagaimanapun, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. 

Ekoran kejadian itu, polis mula menyoal siasat pemilik restoran yang kemudian mengaku telah menghantar sekumpulan lelaki terbabit untuk menyerang pasangan berkenaan. Malah turut menjelaskan restoran dia tidak sepatutnya menerima pandangan yang buruk seperti itu kerana ia boleh menjejaskan reputasi perniagaannya. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.