Syarikat pengeluar kereta elektrik, Tesla, dilaporkan akan membuka sebuah ibu pejabatnya di Malaysia selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meluluskan permohonan syarikat itu untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke negara ini,.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemasukan Tesla ke negara ini akan mewujudkan peluang pekerjaan yang dijangka mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik dan global.
"Kami gembira dengan keputusan Tesla untuk turut serta dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Ini membuktikan keyakinan Tesla terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia," katanya.
Kemasukan Tesla itu kelak juga akan memperkenalkan Pusat Pengalaman di mana pengguna boleh mempelajari lebih mendalam mengenai kenderaan itu.
Bakal pembeli boleh membuat tempahan secara dalam talian dan kereta akan diterima selepas stok diperuntukkan.
Pusat Servis Tesla juga akan disediakan dan rangkaian pengecas Superchager akan diwujudkan di negara ini.
Tesla merupakan salah satu syarikat yang paling bernilai di dunia setakat ini dengan jumlah 120,000 pekerja di seluruh dunia.
Sumber: Berita Harian