Loading...
TR

Tak pegang radio dengan betul, suami cucuh jari telunjuk isteri dengan gunting panas




Mahkamah Sesyen Kuala Pilah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang mekanik yang didapati bersalah atas pertuduhan menganiaya isterinya sehingga mengalami kecederaan. 


Tertuduh, Mohamad Faiz Shahruddin, 28, dari Gemas sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail. 


Tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan pada isterinya, 27, dengan mencucuh sebilah gunting yang panas pada jari telunjuk mangsa dalam kejadian yang berlaku di sebuah bengkel motosikal di Felda Jerai, pada jam 10.30 malam, 13 Disember lalu.


Mengikut fakta kes, pasangan itu bertengkar kerana Mohamad Faiz menuduh isterinya tidak memegang betul radio yang sedang dibaiki. 


Keadaan menjadi tidak terkawal menyebabkan pasangan itu bergaduh. Mohamad Faiz terus mengambil gunting panas lalu dicucuh pada jari telunjuk kiri mangsa dan menumbuk bahagian kanan kepalanya.


Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 36A akta yang sama. 


Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashima, manakala Mohamad Faiz diwakili peguam Muhammad Hafiz Leman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


16 Disember 2022, tertuduh telah dihadapkan ke mahkamah sama tetapi tidak mengaku salah atas pertuduhan itu.


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.