Gagal melunaskan bayaran RM260,400 kepada Fame Up Entertainment, Mahkamah Tinggi Georgetown mengisytiharkan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed, bangkrap (muflis).
Penolong Pendaftar Siti Zulaikha Nordin @ Ghani, merekodkan perintah kebangkrapan itu selepas mendengar petisyen kreditor yang difailkan oleh syarikat berkenaan pada Oktober 2022.
Menurut peguam yang mewakili Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, Norjuma telah dimaklumkan mengenai prosiding yang berlangsung pada jam 9 pagi ini, tetapi usahawan itu tidak hadir ke mahkamah.
"Kami percaya Jabatan Insolvensi akan meneruskan proses kebangkrapan ini. Mahkamah memutuskan (Norjuma) bangkrap selepas dia gagal melunaskan bayaran untuk petisyen kreditor.
Turut hadir di mahkamah, pemilik Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi, 44.
Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu terhadap syarikat berkenaan sekitar 2018 dan 2020.
Fame Up Entertainment turut memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 15 Ogos 2022 bagi menuntut Norjuma membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sumber: Harian Metro