Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai yang jugaExco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat tampil menafikan dakwaan yang sedang tular di media sosial kononnya dia mempersendakan Menu Rahmah.
Hanafiah berkata, dia tidak pernah menyebut Menu Rahmah, malah hidangan yang dipesannya juga bukan dalam kategori Menu Rahmah.
Jelas Hanafiah, sudah menjadi kebiasaannya makan nasi bersama kuah dan tindakannya menuang air oren ke dalam makanan adalah perkara biasa.
"Pada kejadian itu saya memang makan nasi dengan ikan goreng, ada sayur campur dan ayam, ada dua jenis sayur dan telur. Nasi itu kebetulan tak ada kuah.
"Saya memang orang Terengganu, saya memang tak pernah makan nasi tak ada kuah. Saya gunakan air yang saya minum sebagai kuah dan saya makan nasi itu sampai habis," katanya memetik laporan Free Malaysia Today, Jumaat, 3 Mac 2023.
Hanafiah tidak menolak kemungkinan dakwaan itu ditularkan oleh pihak yang cuba menjatuhkan reputasinya dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yangg menyebarkan fitnah terhadapnya.
"Itu bukan Menu Rahmah, saya tak sebut itu Menu Rahmah. Tangan-tangan jahat ini, orang politik ini yang iri hati terhadap saya yang sangat berjaya sebagai exco di Terengganu yang sentiasa beri bantuan dan dekat di hati rakyat," katanya.
Sumber: Free Malaysia Today