Pesanan itu mungkin sudah dilupakan apabila ada ahli kumpulan yang membawa haluan masing-masing menyebabkan nama kumpulan ditukar kepada Sepahtu. Namun, ia tidak berhenti di situ.
Desas desus mengatakan Shuib pula meninggalkan kumpulan itu berikutan ketiadaannya dalam program Sepahtu Reunion Live (SRL) dan ketika itu tiada sebarang sebab dinyatakan membuatkan ramai yang tertanya-tanya.
BABAK SHUIB MEMARUT KELAPA JADI PUNCA?
Hari ini, Jep tampil menjawab segala persoalan ramai yang sekali gus menjelaskan punca sebenar ketiadaan rakannya dalam SRL.
Dalam luahan penjelasan panjang melalui hantaran di Instagram itu, Jep mahu orang ramai khususnya peminat mengetahui bahawa mereka tidak pernah menyingkir Shuib, apatah lagi menutup pintu untuk rakannya itu kembali berkarya di pentas yang sama.
"Saya rasa dah tiba masanya untuk saya hentikan senitron yang dimainkan ini. Saya bukan orang yang kemaruk dengan publisiti untuk kena sentiasa ada tulisan pasal diri saya. Jadi, tolong jangan libatkan saya dalam marketing murahan ini.
"Hari ini saya akan beritahu kenapa dia (Shuib) takde dalam SRL bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan andaian yang boleh menjadi fitnah. Ini kerana jawapan yang selalu dia keluarkan tergantung dan sentiasa berubah-rubah.
"Ceritanya bermula ada babak yang dia mainkan dalam SRL mendapat kecaman teruk dari penonton. Aksi lucah itu berlaku ketika babak dia sedang mesin (memarut) kelapa. Jadi pihak Astro mengeluarkan arahan untuk dia minta maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan penggantungan selama dua minggu yang juga sebagai peringatan kepada kami pemain yang lain. Ini kerana SRL adalah tontonan keluarga daripada pelbagai lapisan umur.
"Setelah meminta maaf, dia masih tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, lalu memberi kata dua sekiranya dia masih digantung dua minggu, dia memilih untuk tidak meneruskan lagi baki 50 episod.
SHUIB SERING BUAT KENYATAAN TERGANTUNG
"Musim berganti musim, musim baru SRL pun tiba. Tidaklah kami melutut memujuk tetapi kami tanya, pelawa dan menjemputnya semula. Kami tunggu keputusannya, namun senyap tanpa berita. Mahu tak mahu, kami teruskan juga SRL tanpa kehadiran dia.
"Peminat berterusan bertanya, tiada kenyataan sebenar atas apa sebenarnya yang berlaku yang dikeluarkan. Yang sering dibuat kenyataan yang tergantung, kenyataan yang mendatangkan kepada tanda tanya.
"Saya perhati saja, fikiran saya, tak perlu saya ikut campur kerana itu adalah keputusan dia. Terpulang kepada dia, Sepahtu tidak pernah membuang dia. Malah di satu waktu kami yang tertunggu-tunggu dia kembali, di saat dia nyatakan dia berehat daripada dunia hiburan dan tak mahu buat rancangan apa pun satu persatu rancangannya keluar, membuatkan kami termangu-mangu.
JEP DAH TAWAR HATI
"Tak apalah, kini hati pun telah tawar. Waktu berlalu pergi. Kisah kami yang indah-indah, saya simpan sendiri. Janganlah ditanya, diasak suruh bersama lagi.
"Tidak ada sedikit rasa marah dan dedndam, cuma kenyataan untuk pembetulan. Walau tidak bersama Sepahtu, doa saya tetap bersama dia walau di mana pun dengan sesiapa pun. Semoga berjaya," katanya.
Tinjauan di ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku. Netizen berpandangan, walaupun Jep kecewa dengan tindakan Shuib, tetapi dalam penjelasan panjangnya itu masih lagi mahu menjaga hati rakannya itu.
"Terima kasih atas penjelasan ini. Dah berapa lama asyik tertanya-tanya apa sebabnya. Nak cakap tapi tak nak cakap. Sudahnya nanti timbul pelbagai fitnah. Selamat maju jaya buat team SRL," kata Shasha.
"Kalau statement Jep aku percaya sebab dia orangnya lain sikit daripada yang lain. Betullah tu Jep tak suka publisiti murahan, malah lebih gentleman sekiranya ada khilaf sendiri," kata Halimah.
"Finally, dah jangan sibuk masuk live Jep dan tanya tentang Shuib. Dia nak meniaga baju pun tak senang. Bukan dia tak baca orang dok komen-komen nama Shuib tu. Takpe bang, bagus penjelasan ini. Senang biar semua tahu," kata Yana.
Sumber: Instagram Jep Sepahtu