Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, sebelum ini meluah rasa kecewa kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyentuh mengenai kenaikkan gaji penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2023.
Tidak cukup dengan itu, Adnan juga menambah, Belanjawan 2023 dilihat tidak mampu menangani masalah tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.
Anwar bagaimanapun meminta Cuepcas bersabar dan memahami bahawa keadaan ekonomi semasa dan hutang negara menjadi penghalang untuk kerajaan membincangkan isu kenaikan gaji penjawat awam.
"Saya setuju dengan Cuepacs pada prinsipnya bahawa gaji penjawat awam perlu dinaikkan untuk menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup.
"Tapi apa masalah kita? Hutang negara RM1.5 trilion, defisit negara 56 peratus. (Jika) kita tambah gaji, defisit jadi 65 peratus.
"Nanti tiada orang nak datang melabur lagi kepada kita. Pelabur luar negara tidak akan yakin dengan kekuatan tekad politik untuk menguruskan negara.
"Jadi, saya minta (Cuepacs) bersabar sekejap," katanya.
Jelas Anwar, kerajaan pada masa ini lebih mengutamakan usaha untuk membantu golongan miskin tegara seperti nelayan dan petani yang lebih terjejas.
"Hasil lebihan itu, saya curahkan (untuk) membantu golongan yang lebih miskin. Apakah ia tidak penting kita selamatkan orang miskin yang lebih teruk.
"Jadi, kalau kita lihat (daripada) segi itu, kita faham, kita hidup dalam susah tapi mereka pun hidup susah," katanya.
Sumber: MalaysiaKini