Seorang lelaki berusia 25 tahun yang mengamalkan gaya hidup punk tergamak ditahan polis kerana didakwa membunuh teman wanitanya selepas mayat mangsa ditemui dalam keadaan penuh dengan luka di dalam bilik sewa di Kabupaten Ponorogo pada 8 Februari lalu.
Siasatan awal polis mendapati, mangsa terdahulu mengajak suspek bersama dengan tiga lagi rakannya datang ke bilik sewa untuk berpesta minum arak.
Dalam pesta itu, mereka menghabiskan dua botol arak. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menelan pil yang dipercayai dadah, yang telah dicampur pada arak tersebut.
Berdasarkan pengakuan suspek, ketika berada di bawah pengaruh alkohol itu berlakunya pertelingkahan di antara dia dengan mangsa.
"Mangsa memukul dan mencekik suspek. Tindakannya itu membuatkan suspek sakit hati lalu menekup mukannya dengan bantal kira-kira 30 minit," kata Ketua Polis Ponorogo, Nikolas Bagas Yudhi Kurnia, semalam.
Setelah mendapati mangsa tidak lagi bernyawa, suspek menggigit lidah dan payudara mangsa. Kemaluan mangsa juga turut digigit sehingga terjejas teruk.
"Ini juga berdasarkan hasil bedah siasat pada mayat mangsa, berdasarkan fakta ada kesan luka di bahagian kepala, mulut," katanya.
Nikolas mengesahkan, suspek dan mangsa tidak melakukan hubungan intim ketika itu. Hanya suspek yang sengaja menggigit dan merosakkan kemaluan mangsa.
"Suspek dan mangsa menjalinkan hubungan sejak beberapa bulan lalu. Mereka juga berasal dari komuniti anak jalanan atau anak punk," katanya.
Sementara itu, suspek mengakui dia menyesal dengan perbuatannya yang berpunca daripada pengambilan arak sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan lalu membunuh teman wanitanya sendiri.
Suspek kini berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun kerana membunuh.
Sumber: Indo Zone