Kes isteri curang bersama lelaki bujang atau suami orang dilaporkan semakin meningkat, berdasarkan jumlah aduan yang diterima pakar-pakar kekeluargaan dan kaunselor mengenai masalah rumah tangga yang dihadapi pasangan berkahwin.
Lebih teruk lagi, ada yang tanpa rasa bersalah mahupun segan dengan sengaja menunjukkan perbuatan terkutuk itu secara terang-terangan.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, jika 10 tahun yang lalu mereka menerima satu kes bagi tempoh dua atau tiga bulan. Tetapi kini mereka menerima dua kes bagi setiap bulan.
"Kes-kes curang rumah tangga sama ada pasangan suami atau isteri memang menunjukkan peningkatan sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding 10 tahun lalu berdasarkan kes-kes yang telah dikendalikan.
"Malah, ada kes curang tersebut bermula daripada perkenalanan di media sosial sehingga berlanjutan ke ranjang tanpa sebarang ikatan pernikahan sah," katanya memetik laporan dari Kosmo Online, Ogos lalu.
Berdasarkan aduan, kebanyakan isteri curang kerana mereka kesunyian dan tidak mendapat perhatian atau layanan yang secukupnya dari suami yang terlalu sibuk menghadap kerja sehingga mengabaikan pasangan.
"Ada isteri tekad mencari lelaki lain sebab suaminya sibuk dengan telefon bimbit, mesyuarat dalam talian dan main saham. Wanita itu pula apabila berada di rumah, ibarat macam patung.
"Kurangnya komunikasi di antara pasangan menyebabkan si isteri kesunyian, tiada sentuhan fizikal, emosi dan mental," katanya.
Apabila berada di pejabat, si isteri pula bertemu dengan rakan-rakan untuk meluangkan masa bersama dan memilih menjadikan lelaki bujang atau suami orang untuk dijadikan kekasih gelap.
Sedangkan katanya, wanita adalah individu yang paling taat kepada suami dan tidak akan curang selagi suaminya memberi kasih sayang yang secukupnya. Tetapi disebabkan perkara itu tidak berlaku, maka isteri akan berubah walaupun imannya kuat sebelum ini.
Tambahnya, dia pernah menerima kes-kes isteri curang termasuk terlanjur dengan lelaki lain berpunca dari sikap suami yang tidak endah dengan apa yang berlaku.
"Nasihat kepada golongan suami, tolonglah ada komunikasi, sentuhan dan pelukan kepada isteri masing-masing. Lakukan solat berjemaah di rumah, tadabbur al-Quran kerana suami itu pemimpin," katanya.
Sementara itu, Peguam Syarie, Nurul Atikah Abd, Rashid yang biasa mengendalikan kes berkaitan curang berkata, si isteri kebanykannya mengadu mengalami kesunyian yang mendorong mereka mencari lelaki lain terutamanya rakan sepejabat.
Dalam masa sama, si isteri bercerita pula masalah rumah tangga kepada lelaki lain yang kebanyakkannya mengambil kesempatan untuk menjalinkan hubungan terlarang itu.
Masalah rumah tangga yang dihadapi boleh diceritakan kepada keluarga atau pihak tidak berkepentingan. Jika ada keluarga yang tidak memahami situasi dihadapi, pihak yang tidak berkepentingan seperti kaunseling, pejabat agama dan peguam syarie boleh membantu untuk mendapatkan jalan penyelesaian.
Sumber: Kosmo