Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan akan kembali ke mahkamah hujung September ini untuk membuat tuntutan ke atas 2,436 barang kemas dan 28 beg tangan mewah yang dirampas polis semasa serbuan di Pavilion Residences pada Mei 2018.
Peguam Azamuddin Abdul Aziz yang mewakili Rosmah dalam permohonannya, mengesahkan pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 26 dan 27 September.
"Pada masa ini, terdapat lebih 2,400 barang kemas dan 28 beg tangan mewah dalam simpanan kerajaan. Barang rampasan selebihnya telah dipulangkan," katanya kepada portal The Vibes.
Terdahulu, pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan rampasan terhadap Obyu Holdings, yang dikenal pasti sebagai pemilik dua unit kondominium di Pavilion Residences di mana barang-barang rampasan itu disimpan.
Barangan yang dirampas adalah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44. Jumlah barang rampasan dianggarkan bernilah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Barangan dan wang tunai itu dirampas oleh pihak berkuasa yang percayai ia mempunyai kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Rosmah, suaminya Najib Razak dan beberapa ahli keluarga lain telah memfailkan tuntutan ke atas aset yang dilucutkan hak itu.
Bagaimanapun pada Ogos tahun lalu, wang tunai RM114 juta itu telah dipulangkan kepada Najib yang berkata dia hanya menyimpan wang itu bagi pihak UMNO.
November tahun yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, memerintahkan supaya barang-barang selebihnya dikembalikan kepada Najib, Rosmah dan ahli keluarga lain.
Pada Julai, kerajaan gagal dalam permohonan untuk menangguhkan pemulangan barang rampasan itu.
Antara barang yang dirampas pada Mei 2018 ialah, gelang berlian emas putih bernilai AS$220,000 (RM966,750) yang pada mulanya dituntut Rosmah dan syarikat Lubnan Global Royalty Trading SAL.
Bagaimanapun pada 8 Jun, ROsmah melepaskan tuntutannya dan gelang itu kini berada dalam simpanan peti besi Bank Negara Malaysia (BNM).
Najib juga memfailkan tuntutan terhadap baki tujuh jam tangan.
Dua hari lalu, Rosmah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta kerana didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Sumber: The Vibes