Tular di media sosial, seorang lelaki mendakwa ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan yang menjadi punca kematian mangsa kemalangan di Jalan Pudu, jam 5.50 pagi, Selasa, 23 Ogos 2022.
Berdasarkan video tular tersebut, lelaki terbabit mendakwa mereka telah menghubungi talian kecemasan dan menunggu lebih dari satu jam untuk ambulans tiba di lokasi.
Dalam video kedua pula, seorang lagi lelaki mendakwa ambulans lewat tiba di lokasi kira-kira dua jam, membuatkannya berang lalu melemparkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam terbabit.
Bagaimanapun, seorang saksi kejadian tampil menafikan dakwaan tidak berasas itu dengan menunjukkan bukti video dashcam ketika melalui lokasi kejadian.
"Kemalangan berlaku pada jam 5.50 pagi dan jam di dashcam kereta menunjukkan ambulans sudah berada di lokasi pada jam 6.19 pagi.
"Jadi, di mana dakwaan yang mengatakan ambulans lewat satu ke dua jam?" kata Muhd Azul.
Video dashcam yang didakwa sebagai bukti boleh ditonton di SINI.
Jelasnya lagi, ambulans bukan hanya digunakan untuk respon pada kes kecemasan sahaja. Antaranya, khidmat ambulans juga digunakan untuk membawa pesakit di wad yang dirujukkan ke hospital lain.
Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki memarahi petugas ambulans yang didakwa lewat tiba ke lokasi kemalangan yang menyebabkan mangsa meninggal dunia.
Dalam masa yang sama, lelaki itu turut membangkitkan soal perkauman yang mengundang kemarahan netizen.