Hasrat menamatkan langganan perkhidmatan TV berbayar dan digantikan dengan iPTV tidak kesampaian apabila pengadu bukan sahaja ditipu, malah wang simpanan dalam akaun bank turut dirembat oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Menceritakan semula kronologi kejadian itu, Aisyah Nasri berkata, kejadian itu bermula pada 10 Ogos lalu dan mereka tidak menyangka tindakan tersebut menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM10,000.
"Saya cuba mencari iPTV apps, konon-konon nak terminate Astro sebab dah tak tengok sangat. Saya cuba cari apps itu di Facebook dan terjumpa satu profile premium TV 5G.
"Saya mulakan chat dengan seller dan mahu mencuba apps itu. Seller menghantar apps itu di WhatsApp untuk dimuat turun dan kemudian diminta mendaftar sebagai pengguna baharu melalui apps tersebut.
"Disebabkan saya menggunakan iPhone, maka aplikasi itu tidak dapat dibuka. Seller meminta saya membuka apps itu menggunakan telefon Android. Disebabkan 'kebijaksanaan'saya, saya hantar apps tersebut ke telefon suami.
"Selepas daftar, kami cuba membuat pembayaran menggunakan Maybank2u, tetapi tidak berjaya. Kali kedua mencuba, masih tidak berjaya. Kemudian saya guna akaun bank suami pula, tetap tidak berjaya. Akhirnya kami biarkan saja," katanya.
Jelas Aisyah, dia hanya menyedari wang simpanan dalam akaun bank hilang pada keesokan hari ketika dia cuba membuat pemindahan wang. Setelah disemak, terdapat dua transaksi pemindahan ke akaun suaminya sebanyak RM5,000.
"Saya terus call suami dan minta dia periksa. Tanpa fikir panjang, saya terus menghubungi Maybank untuk meminta pengesahan, bagaimana boleh berlakunya transaksi sedangkan saya tidak menerima sebarang nombor TAC.
"Pegawai bertugas bertanya kepada saya, kalau saya ada memuat turun apa-apa apps baru-baru ini. Bingo! Memang dah kena scam! Apps itu malware! Bila kami cuba buat pembayaran tempoh hari, username dan password Maybank2u kami telah diambil tanpa sedar.
"Memang RM10,000 itu masuk ke akaun suami saya. Tetapi duit itu telah dikeluarkan ke akaun Shopee. Jadi kami tidak dapat mengesan pergerakan duit itu. Duit dalam akaun suami saya juga lesap," jelasnya.
Dalam pada itu juga, Aisyah mengakui silap dirinya menetapkan had pengeluaran RM10,000 sehari. Sekiranya dia lambat mengetahui kehilangan wang itu, mungkin RM10,000 yang seterusnya akan hilang.
Justeru, Aisyah menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik sebarang aplikasi yang mencurigakan dan menetapkan semula had pengeluaran harian di akaun bank masing-masing kepada jumlah yang paling rendah.
Semakan suaminya juga mendapati, taktik scam menggunakan aplikasi sedemikian bukanlah perkara baru. Namun, mereka reda dengan apa yang berlaku dan berharap orang ramai tidak mengulangi kesilapan mereka.
Sumber: Aisyah Nasri