Tindakan seorang ibu memuat naik video yang menunjukkan dirinya menyuap rokok elektronik atau vape kepada anaknya yang berusia lingkungan 2 tahun, mengundang kemarahan netizen di media sosial.
Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan, mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit disuap dengan vape sebanyak dua kali dan pada sedutan kali kedua jelas menunjukkan anak kecil itu terasa keperitan yang tidak terkata di bahagian saluran pernafasannya.
Difahamkan, video itu dimuat naik di Instastory ibunya dengan kapsyen, "Ada bapak jadi bodoh". Walaupun sedar dikecam oleh netizen, wanita terbabit menegaskan dia bebas memuat naik apa saja dan sekiranya ada yang tidak menggemari perkongsiannya itu boleh berhenti mengikutinya.
"Kelam kabut masing-masing ya. Suka hati akulah nak post apa. Kalau rasa semak, jangan follow aku. Tak follow pun sebuk komen-komen dekat gambar aku. Anak aku, suka hati aku. Aku yang jaga dia, bodoh!" tulisnya di Instastory.
Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, wanita itu tampil menggesa orang ramai berhenti menyebarkan video tersebut yang telah membuatkan dirinya tertekan.
"Stress aku. Cukup-cukuplah viralkan (video itu). Tak tahu pula boleh sampai jadi macam ni. Aku tahu aku silap di situ. Kalau aku nak bunuh anak aku, dari dia baby lagi aku dah buang. Tu saja buat video je. Harap maafkan aku. Dahlah viralkan video tu, aku stress!
"Salah satu, semua orang nampak sampai viral. Korang tak nampak ibu sendiri dia jaga macam mana. Video hanya saja-saja, tak tahu sampai viral dikecam macam ni sekali.
"Bukan nak dera dia ke apa. Aku tahu dekat situ salah aku. Aku minta maaf. Korang viral kes jadi besar. Korang boleh fikir kalu jadi apa-apa dekat aku, Anaqi masih menyusu badan," katanya.
Di ruangan komen, netizen berpendapat kesalahan sebegini tidak boleh dibiarkan kerana perbuatan itu boleh memudaratkan anaknya.
"Kena report ni. Dia yang rakam, yang dia tak rakam? Mentang-mentang kat hospital bayar RM1, itu nilai nyawa anak dia eh?" kata Syaidatul.
"Lain macam cara bergurau mak kau ni dik. Hari ini dia bergurau bagi anak hisap vape, pastu busted dekat orang baru pandai minta maaf. Esok lusa apa pula nak diguraukan. Itu pun kalau viral lagi, mungkin dia sedarlah sekejap.
"Bukan nak pisahkan mak dengan anak, tetapi kalau dah macam ni cara gurau, harap Jabatan Kebajikan Masyarakat ambil tindakan sewajarnyalah," kata Huda.
"Selamba je bagi anak hisap vape. Otak kau penuh asap tak apa, jangan anak sekecil itu yang tak tahu apa-apa kau sumbat mulut dia dengan vape. Buat bahan gurau? Fikir kesihatan anak, jangan fikir nak seronok-seronok saja.
"Selalu nampak video-video macam ni dari seberang, rupanya kat Malaysia. Terkedu aku! Aku paling geram orang guna budak-budak yang tak tahu apa-apa untuk dijadikan bahan lawak bodoh merepek-repek macam ni. Macam sempit sangat otak mak paknya," kata Nur Idayu.
Sumber: FB Ryan NasT'Angler