Rata-rata netizen yang membaca perkongsian mengenai sebuah keluarga besar ini yang dipercayai tinggal di kawasan Klang, meluahkan rasa terkejut. Mana tidaknya, bilangan anak-anak sahaja sudah mencapai 28 orang, hasil dari perkahwinan bapa mereka bersama empat orang isteri.
Menurut sumber, keluarga berkenaan terpaksa menyewa dua buah rumah bagi menempatkan keseluruhan ahli keluarganya. Sewa rumah pula ditanggung oleh pihak zakat. Anak sulung keluarga itu dikatakan telah melarikan diri sehingga tidak dapat dikesan.
Dua buah rumah itu hanya mempunyai empat bilik yang setiapnya setiap satunya menempatkan isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat. Menjelang sebelah malam, anak-anak perempuan katanya disuruh tidur dalam balik, manakala anak-anak lelaki tidur berselerakan dalam rumah asalkan masih di bawah bumbung.
Aktivis kebajikan, Nurul Ima Rahman, dan pasukannya datang menyantuni keluarga itu pada jam 12 tengah hari. Pintu diketuk dengan kuat. Setelah hampir lima minit, barulah pintu dibuka kerana penghuninya baru bangun dari tidur.
Untuk lima minit yang kedua, mereka terpaksa menunggu seketika untuk dipelawa masuk, sebab masing-masing kelam kabut mengemaskan rumah.
"Maaflah, rumah bersepah sikit," kata isteri pertama.
Perbualan pun bermula di antara mereka. Ima sempat bertanya apakah anaknya sudah menjejakkan kaki ke sekolah. Namun si bapa menjawab, "Belum, takpelah ingat nanti nak masukkan ke tahfiz je semua".
"Oh baguslah," kata Ima sambil menunjukkan telefon bimbitnya akan gambar sebuah sekolah tahfiz di Klang, milik sepupunya.
"Tahfiz ini milik sepupu saya, kalau kami aturkan anak-anak masuk ke sini boleh tak?" soal Ima.
"Tak nak! Anak-anak saya semua hanya akan masuk ke Pondok Pasir Tumboh, di Kelantan. Pondok terbaik di Malaysia," pantas ayahnya menjawab.
Jawapan si bapa membuatkan Ima terpana seketika dan berkata, "Kelantan? Jauh tu, ada sesiapa kenal ke kat tahfiz tu?"
"Takde, tetapi tu sekolah pondok yang terbaik di Malaysia. Dah lahirkan ramai orang-orang hebat. Sekolah tahfiz lain saya tak nak. Nanti anak-anak saya semua akan sambung belajar di Cairo," katanya.
Ima bertanya mengenai persiapan/persediaannya, tetapi si bapa menyerahkan tanggungjawab itu kepada isterinya.
"Nantilah, tunggu isteri saya uruskan sekolah kerajaan," katanya.
Di fikiran Ima, sekiranya anak-anak keluarga ini ditempatkan di madrasah, sudah tentu makan minumnya terjaga, soal ibadahnya sempurna dan ada tempat tidur yang selesa. Namun, hasrat untuk membantu itu terpaksa dipendamkan kerana kengganan si bapa untuk menerima bantuan seperti itu.
"Maaf, saya tidak berniat untuk post benda-benda negatif terutamanya di bulan Ramadhan. Kalau anda ada cara sesuai untuk bantu anak-anak ini dapat pendidikan dan nilai hidup yang lebih baik, bantulah. Sedih melihat wajah mereka," ujarnya.
Difahamkan, sebelum ini Ima dan rakan-rakannya datang menyantuni keluarga itu. Kali kedua kedatangan mereka sudah tentu mengharapkan ada perubahan yang positif, tetapi dia enggan menceritakan lebih lanjut, sebaliknya biarlah Allah sahaja yang tahu.
"Saya sangat sedih dengan sikap seorang bapa. Yang membawa pengaruh besar dalam hidup anak-anak. Anak-anak dia comel-comel belaka. Memang sayu sungguh fikirkan anak-anak itu semua hidup dalam keadaan sempit, kotor dan sikap ibu bapa mereka pula begitu.
"Bukan niat saya nak mengundang kata-kata tidak baik dari orang lain. Cumanya kalau asbab post sis itu dapat buat Ustaz Ebit Lew atau orang-orang hebat yang lain, ada kepakaran untuk menangani kes sedemikian, rasa bersyukur sangat-sangat," katanya yang menegaskan bukan isu poligami atau kemiskinan yang hendak dikongsikan.
Sumber: Nurul Ima Rahman