Niat jahat lima remaja perempuan yang cuba memecah masuk sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Tikam Batu, gagal apabila perbuatan mereka diketahui pemilik stesen tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.30 pagi, 4 Januari 2021, remaja perempuan berusia dari 15 hingga 17 tahun terbabit berjaya ditahan.
Pemilik stesen minyak, Azzurin Hassan, 32, yang tinggal berdekatan dengan premisnya berkata, dia menyedari kejadian itu berlaku setelah melihat kamera litar tertutup (CCTV) dan terkejut melihat tiga suspek sedang menggumpil pintu belakang premis lalu segera datang menahan mereka.
"Saya dan beberapa orang jiran kemudian mengepung kawasan stesen minyak itu sebelum menahan dua remaja, manakala seorang sempat melarikan diri bersama dua lagi rakannya yang sedang menunggu di dalam kereta," katanya.
Suspek yang ditahan mengaku telah merancang untuk memecah masuk stesen minyak itu dengan menggunakan sebilah gergaji kayu dan sebatang besi untuk mencuri.
Mereka berbuat demikian kerana terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar kos kereta sewa Perodua Viva yang disewa melebihi tempoh sejak beberapa hari lalu.
Dua suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tikam Batu. Tiga lagi rakan suspek juga datang menyerah diri selepas dihubungi.
Siasatan awal mendapati, kesemua remaja terbabit tidak bersekolah dan tidak tinggal bersama keluarga masing-masing kerana mahu hidup bebas.
Azzurin bagaimanapun tidak membuat laporan polis mengenai kejadian itu kerana tidak mengalami sebarang kerugian. Sebaliknya, Azzurin sekadar memberikan nasihat sebelum melepaskan mereka.
Sumber: Utusan