Bekas peninju profesional wanita telah ditahan selepas didakwa telah menyebabkan suaminya meninggal dunia.
Peninju kelahiran Brazil, Viviane Obenauf, berkahwin dengan suaminya yang berusia 61 tahun itu pada Januari lalu dan kini dituduh memukul mangsa dengan menggunakan objek tumpul di kediaman mereka.
Obenauf, 34, ditahan dan disiasat selepas mangsa didapati meninggal dunia akibat serangan ganas yang berterusan. Mangsa yang tidak didedahkan namanya itu, meninggal dunia akibat kecederaan teruk yang disebabkan oleh objek tumpul, menurut polis Switzerland.
Polis sedang menjalankan siasatan dan pemeriksaan di pusat gym yang dimiliki oleh Obernauf, serta pangsapuri kediaman mereka.
Obenauf dilahirkan di Rio de Janeiro dan ketika muda dia bermain bolasepak serta pernah menjadi atlet Olimpik bagi acara gimnastik sebelum beralih sepenuhnya kepada suka tinju pada usia 18 tahun.
Kariernya dalam sukan tinju sangat menyerlah dan dia berjaya menang sebanyak 14 kali dan 6 kali tewas sebelum bersara dari gelanggang tinju tahun lalu. Obenauf mula bekerja di industri perhotelan di Switzerland selepas bersara dan kemudian membuka pusat gymnya sendiri.
Akhbar Swiss, Blick, pernah melaporkan Obenauf ditahan sebelum ini di kelab malam kerana menumbuk muka seorang lelaki yang cuba memegang punggungnya ketika dia sedang menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-30. Insiden itu menyebabkan dia terpaksa duduk di dalam lokap selama beberapa jam pada Oktober 2016.
Sumber: Daily Star