Loading...
TR

Gelandangan dibogelkan & diaibkan selepas dirompak dua samseng


Dua samseng tergamak menyerang dan merompak lelaki gelandangan sebelum meninggalkannya dalam keadaan telanjang dan mengaibkan di jalanan. 


Suspek yang dikenali sebagai Aaron Kenworthy, 29, dan Chris Moyo, 42, merampas kad bank, jaket North Face dan telefon bimbitnya yang mengandungi gambar anaknya dalam kejadian yang berlaku di Piccadilly Gardens, Manchester. 


Kenworthy dikatakan duduk di atas mangsa dan dalam masa yang sama Moyo menanggalkan seluarnya ketika kejadian yang berlaku pada 16 Mei 2020. Kenworthy turut mengancam mangsa menggunakan pisau dan Moyo menumbuknya di bahagian kepada dan dada. Lebih teruk lagi, mereka turut memotong telinga mangsa. 


Pendakwa Raya, Neil Fryman memberitahu mahkamah,"Kira-kira 30 saat kemudian, pengadu berjaya melarikan diri dan terus pergi ke sebuah pondok telefon awam untuk menghubungi talian 999. 20 minit kemudian, polis tiba di tempat kejadian. 


"Dia (mangsa) telah dirompak. Barang-barang lain yang diambil oleh suspek adalah seperti beg kulit, beberapa ganja, beg berisi peralatan mandian, beg Nike, khemah, seluar Hugo Boss dan stoking hitam. 


"Dia juga mengalami luka di bahagian telinga kanan, jari kanan dan pergelangan tangan serta dadanya cedera selepas suspek duduk di atasnya."


Ketika memberi keterangan kepada mahkamah, mangsa mengakui dia mengalami trauma dan kesejukan setelah kejadian itu kerana segala barangannya telah dirompak membuatkan dia tiada tempat untuk tinggal serta bimbang dengan keselamatan dirinya. 


Sementara itu, peguam kepada Kenworthy, Michael Lavery berkata, anak guamnya itu berasal dari kehidupan yang susah sejak dari kecil lagi sehingga menyebabkan dia menjalani kehidupan yang liar di Manchester. 


Begitu juga dengan peguam kepada Moyo, Michael Goldwater yang memberikan alasan anak guamannya itu terdesak kerana mengalami kesukaran untuk mencari kerja sehingga menyebabkan kehidupannya tidak stabil. 


Bagaimanapun, mahkamah memutuskan Kenworthy dan Moyo bersalah di atas pertuduhan merompak. Hakim Patrick Field QC berkata, "Khemah itu sahaja yang dia (mangsa) ada. Tetapi kamu berdua menyasarkan dia dan menyerang dia dengan kejam sehingga meninggalkan dia dalam keadaan tidak berpakaian dan memalukan di jalanan."


Kenworthy dipenjara selama enam tahun enam bulan, manakala Moyo dipenjara selama enam tahun.


Sumber: Daily Star

About Cite Malaya

Powered by Blogger.