Bekas pengali kubur yang dibebaskan dari penjara atas kesalahan membunuh sembilan bulan lalu, ditahan kerana merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Artem Osipov, 40, mengaku melakukan serang seksual dan membunuh Polina Skovorodchenko dan membuang mayatnya di dalam kawasan hutan berdekatan dengan bandar Asbest, Rusia.
Ibu mangsa, Alyona, 34, menghubungi polis selepas anaknya tidak pulang ke rumah selepas menghantar surat khabar percuma. Tiga hari kemudian, mayat mangsa ditemui dan polis menahan Osipov setelah meneliti video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan dia adalah suspek utama.
Pihak berkuasa Rusia berkata, "Osipov bertemu dengan mangsa di jalan dan bercakap dengannya. Osipov kemudian membawa mangsa ke rumahnya selepas meminta gadis itu menghantar surat khabar percuma tersebut di kawasan kejiranan tempat tinggalnya.
"Selepas itu, dia melakukan serangan seksual terhadap mangsa dan mencekiknya. Mayat mangsa dibuang ke hutan dan ditutup dengan dahan-dahan pokok".
Osipov sebelum ini dipenjara atas kesalahan membunuh, merompak, mencuri dan mengedar dadah, mengaku merogol dan membunuh Polina. Pada Februari lalu, Osipov dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 15 tahun.
Ketika melakukan pembunuhan Polina, suspek dibawah pemerhatian polis. Suspek turut membawa polis ke tempat mayat mangsa dibuang. Jika didapati bersalah, Osipov berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup.
Bapa tiri mangsa, Denis berkata, "Kami minta dia (Osipov) tidak dibebaskan. Dia dah lakukan jenayah, merogol dan membunuh kanak-kanak. Apa lagi hukuman lain yang patut dikenakan terhadapnya?".
Sumber: Daily Star