Nur Fatin Nasrah Suhaimi yang menyebabkan kematian Mohd Rizal Buseri dalam kemalangan Sabtu lalu, memohon maaf dan keampunan dari keluarga mangsa ketika membuat rayuan dalam prosiding di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Wanita berusia 23 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM8,000 di atas kesalahannya.
"Saya mengaku salah dan sangat menyesal atas perbuatan saya. Saya memohon maaf dan ampun daripada keluarga mangsa kerana menyebabkan kejadian ini," katanya.
Bagaimanapun, bapa mentua kepada arwah Mohd Rizal yang duduk memerhati dari galeri awam dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya.
Menurut laporan Harian Metro, dia juga tidak akan memaafkan Nur Fatin.
Turut hadir di mahkamah ketika itu ialah ibu Nur Fatin bersama dengan abang dan kakaknya yang hanya mampu mengalirkan air mata ketika mendengar rayuan wanita itu.
Sumber: Harian Metro