Susulan kes seorang lelaki memukul anggota bomba ketika menghalangnya dari mendekati kenderaan terbakar, suspek ditahan dan diarahkan menjalani ujian air kencing.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, keputusan mendapati lelaki berusia 30-an itu positif dadah jenis methamphetamine.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 10.40 pagi Khamis (15/10/2020) dan kereta Proton Persona yang terbakar itu adalah milik suspek yang juga bekerja sebagai pengurus acara di Kuala Lumpur.
Suspek cuba menghampiri kenderaannya tetapi dihalang oleh anggota yang bertugas kemudian meminta dia bertenang dan memberi kerjasama. Tetapi secara tiba-tiba suspek bertindak agresif dan memukul anggota bomba.
Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan anggota bomba dan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, suspek sebelum itu memandu dalam keadaan berbahaya dan telah menyebabkan kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan.
Menurut laporan mangsa, kereta pacuan empat roda miliknya dirempuh oleh suspek yang datang dari arah bertentang.
"Kereta itu kemudian mengundur dan sekali lagi melanggar kenderaan mangsa dan meninggalkan lokasi kejadian.
"Suspek meneruskan perjalanan ke Jalan Suakasih dan ketika melalui persimpangan lampu isyarat, suspek merempuh pula kereta Myvi dari arah belakang menyebab kereta yang dipandu wanita berusia 39 tahun itu melambung sebelum melanggar tiang elektrik.
Kereta mangsa mengalami kerosakan teruk, manakala kereta suspek pula terbakar selepas kemalangan itu.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang esok untuk mendapatkan permohonan reman dan disiasat mengikut Seksyen 186/353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN