Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah yang berlaku pada seorang lelaki yang dipercayai merupakan konco sindiket penyeludupan rokok ditahan anggota Batalian 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam.
Lelaki berumur 25 tahun itu ditahan di Jalan Senggarang pada jam 11 pagi Khamis, 22 Oktober 2020, ketika anggota Batalion 5 PGA sedang membuat rondaan keselamatan.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, pemeriksaan pada kenderaan lelaki itu mendapati ada 659 karton rokok seludup pelbagai jenama.
Lelaki itu dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan rokok seludup ke kedai-kedai runcit yang bersekongkol dengannya termasuk kedai runcit yang tidak berlesen di sekitar kawasan Batu Pahat.
Suspek ditahan dan semua barangan yang dibawanya itu yang dianggarkan bernilai RM206,820 dirampas mengikut Akta Kastam 1967, dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro