Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa berhenti mengadakan sidang media harian sekiranya tiada pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, sidang media bukanlah tempat untuk mempromosi baju atau barang pameran di rak.
Selain itu katanya, semakin banyak pengumuman dibuat akan menyebabkan orang awam menjadi semakin keliru.
"Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid-19! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para menteri yang melakukannya," katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga menggesan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memuktamadkan semua SOP sebelum diumumkan tanpa perlu orang ramai menunggu pengumuman kementerian lain sebagai rujukan.
Katanya, SOP panduan bekerja dari rumah (BDR) yang diumumkan sebelum ini terlalu umum dan sangat mengelirukan mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat terutama komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga.
"Sektor perniagaan sedang menghadapi suasana kelembapan ekonomi dan berpotensi kehilangan lebih banyak peluang akibat ketidaktentuan ini.
"SOP yang kabur dan mengelirukan turut menyukarkan pegawai penguatkuasa menjalankan arahan dan mengakibatkan berlakunya ketidakadilan dalam kalangan orang awam," katanya.
Hannah turut menggesa kerajaan segera menjelaskan kekeliruan itu dan memastikan tiada denda dikenakan terhadap orang awam yang terkesan akibat kekeliruan SOP yang diumumkan oleh Ismail Sabri dan Azmin Ali.
"Menteri yang bertanggungjawab harus segera belajar menyelaras bersama sebelum membuat keputusan kerana PKP bukan sesuatu yang baharu.
"PKP bermula sejak bulan Mac lagi, saya cuma mahu mengingatkan mereka yang masa untuk berbulan madu telah pun tamat," katanya.
Sumber: Sinar Harian