Seorang pelajar sekolah yang sedang menyertai sesi pembelajaran online terkejut apabila rumahnya dipecah masuk dua lelaki bertopeng.
Mangsa, Maria Jose, sebelum itu sedang berbual dengan 25 rakannya termasuk guru di Zoom Chat di Ambato, Tungurahua, Ecuador, Jumaat lalu.
Dua suspek terbabit tidak menyedari bahawa tindakan mereka itu sedang dirakam secara langsung yang membolehkan rakan mangsa memaklumkan kepada keluarga mangsa dan pihak berkuasa.
Salah seorang pelajar yang menyedari kejadian itu segera memaklumkan kepada gurunya yang sedang mengajar ketika itu.
"Ada sesiapa yang mempunyai alamat atau nombor telefon ibu bapa dia?" tanya salah seorang pelajar yang kemudian direspon oleh rakannya dan meminta dia segera menghubung ibu bapa mangsa.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu lalu segera pergi ke lokasi dan mendapati dua suspek telah melarikan diri dengan menaiki kenderaan. Namun lokasi mereka berjaya dikesan berdasarkan isyarat dari telefon pintar mangsa.
Hasilnya, empat suspek yang dikenal pasti sebagai Luis C, Valtine P, Carlos A dan Dorian R ditahan untuk tindakan lanjut.
Ketika ditahan, polis turut menemui peti keselamatan, wang tunai 3,017 pound sterling (RM16,320), dua senapang, satu senjata tusukan, dua telefon bimbit, satu komputer riba dan satu konsol permainan video.
Suspek masih direman dan tidak dimaklumkan tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka.
Sumber: Daily Mail