Mayat seorang wanita warga emas berusia 65 tahun ditemui di bawah tempat tidur selepas penduduk setempat mula curiga terhidu bau busuk yang kurang menyenangnya.
Kejadian itu berlaku di Desa Bangodua, Kecamatan Bangodua, Kabupaten Indramyu, Jawa Barat, Indonesia.
Ketua Polis Daerah Indramayu, Suhermanto berkata, mayat mangsa ditemui pada malam Sabtu (5/9/2020) selepas penduduk berasa curiga dengan bau busuk yang datang dari rumah mangsa.
Difahamkan, penduduk di situ datang ke rumah mangsa dan bertanya kepada suaminya yang berusia 70 tahun di mana keberadaaan wanita itu. Suspek menjawab, isterinya keluar.
Namun, hari demi hari bau busuk itu semakin menyengat sehingga mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan itu lalu mereka mengadu masalah itu kepada ketua rukun tetangga.
Bertindak di atas aduan itu Ketua Kampung bersama dengan yang lain datang ke rumah pasangan itu sekali lagi. Pintu diketuk bertalu-talu tetapi suspek tidak keluar dari rumah. Penduduk terpaksa memecah masuk melalui tingkap dan menemui suspek yang sedang duduk mengelamun di dalam bilik.
Mereka kemudian mula mencari punca bau busuk itu dan terjumpa kesan-kesan tanah dikorek yang dipercayai ada sesuatu yang ditanam di bawah tempat tidur.
Sangkaan mereka tepat, sememangnya mayat mangsa dikubur di bawah tempat tidur. Mengikut keterangan penduduk, mangsa sudah meninggal kira-kira 40 hari.
Polis percaya mangsa mati dibunuh oleh suaminya sendiri. Dalam keterangan kepada polis, suspek juga sering memberi kenyataan yang bercanggahan.
Bagaimanapun, polis percaya suspek membunuh isterinya kerana kesal dengan mangsa yang selalu meminta wang belanja.
Suspek yang tidak mempunyai wang, lalu bertindak mencekiknya sehingga pengsan sebelum keluar dari rumah selama tiga hari.
Apabila kembali, suspek mendapati isterinya sudah tidak bernyawa dan mayatnya sudah mulai membusuk. Suspek kemudian mengambil keputusan untuk menguburkan mayat isterinya di dalam rumah, di bawah tempat tidur.
Sumber: Tribun News