Enggan dibawa menziarahi rumah mertua, seorang lelaki tergamak menendang pinggang isterinya yang hamil dua bulan.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi Ahad lalu di sebuah rumah panjang di Jalan Lanang Barat, Sibu, mangsa berusia 18 tahun mengajak suaminya pulang ke rumah ibunya di rumah panjang Bawang Assan.
Namun, suaminya, 19, yang berada di bawah pengaruh alkohol itu tidak mahu menyebabkan tercetusnya pertengkaran di antara mereka berdua sebelum suspek menyerang mangsa.
Suspek menendang bahagian pinggang sebelah kiri dan memukul betis kanan mangsa menggunakan topi keledar yang menyebabkan lebam.
Tidak cukup dengan itu, suspek sekali lagi memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar dan menampar telinga kanan mangsa ketika berada di rumah jiran mereka pada jam 3 petang pada hari yang sama.
Suspek turut melafazkan cerai kepada mangsa, tetapi dengan syarat kandungannya perlu digugurkan, lalu dia beredar dari rumah jirannya itu.
Tidak beberapa lama kemudian, suspek kembali lagi dengan membawa sebatang pen yang dipercayai untuk mencederakan mangsa, tetapi dihalang oleh suami jiran tersebut. Jirannya itu juga bertindak menyembunyikan mangsa di dalam sebuah bilik berkunci bagi tujuan keselamatan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, siasatan mendapati pasangan itu berkahwin seara adat pada 2 Jun lalu.
Difahamkan pada kejadian pertama, hanya mangsa dan suspek berada di rumah. Selepas suspek keluar, mangsa terus melarikan diri ke rumah jirannya di mana kejadian kedua itu berlaku.
"Punca kejadian, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol dan marah kerana isterinya mengajak dia pulang ke rumah mentua.
"Suspek juga sering memukul mangsa jika mabuk," katanya.
Suspek masih giat dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Utusan Borneo