Loading...
TR

Pemandu yang menyebabkan mangsa kemalangan maut tidak boleh dihukum mati


Sejak kebelakangan ini kerap berlaku kes kemalangan yang melibatkan pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol melanggar pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan mangsa maut.

Keadaan ini membuatkan ramai yang mula menyuarakan kebimbangan dan rasa tidak puas hati serta mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu mabuk termasuk menggenakan hukuman gantung sampai mati. 

Bagaimanapun, Pegawai Turus Kes Profil Tinggi dan Kajian Kes, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Suprintendan Rozlim Che Ali berkata, kes bunuh dan kemalangan jalan raya termasuk menyebabkan kematian adalah dua kes yang berlainan dan tidak boleh dikenakan hukuman sama iaitu gantung sampai mati. 

Ini kerana kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan parah, ringan atau maut ia dikategorikan sebagai kes 'quasi criminal' yang hanya memadai dibuktikan dengan tindakan tetapi berbeza dengan kes bunuh kerana terdapat dua perkara yang perlu dibuktikan iaitu niat serta tindakan. 

"Bagi kes bunuh, jika dapat dibuktikan niat seseorang pelaku itu serta tindakannya, baru kita boleh tuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 

"Tetapi dalam kes kemalangan, sukar untuk kita buktikan niat seseorang itu walaupun tindakannya mendatangkan kematian," katanya memetik lapor dari Sinar Harian. 

Dalam kes-kes kemalangan, polis hanya mengambil apa tindakan yang dilakukan pemandu tersebut dan jika boleh disabitkan sebagai punca kemalangan yang menyebabkan kematian kepada orang lain, ia sudah cukup untuk menuduh pelaku itu di mahkamah. 

Sumber: Sinar Harian

About Cite Malaya

Powered by Blogger.