Semalam viral di media sosial anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bergelut dengan seorang lelaki warga emas sehingga menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan.
Difahamkan, anggota terbabit sedang menjalankan tugas menunda kereta milik warga emas itu yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.
Bengang kenderaannya ditunda, mangsa menyerang anggota itu dengan payung sebelum dibalas balik dengan tumbukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze hari ini menggesa anggota terbabit tampil memohon maaf kepada mangsa di atas tindakannya itu.
"Saya berasa sangat kecewa dan sedih atas tindakan kasar pegawai penguatkuasa MPSJ ke atas seorang lelaki dalam satu rakaman video di USJ 9 yang kini viral.
"Walaupun tindakan lelaki tersebut memukul pegawai penguatkuasa dengan menggunakan payung adalah tidak betul, namun pegawai penguatkuasa tersebut tidak sewajarnya membalas dengan kekasaran melampau.
"Pegawai penguatkuasa tersebut harus meminta maaf daripada individu terbabit, manakala pihak MPSJ perlu memperbetulkan situasi ini dengan individu tersebut.
"MPSJ juga perlu mengambil semua langkah yang wajar untuk memastikan semua pegawai penguatkuasa dilatih dengan secukupnya bagi menangani situasi tegang.
"MPSJ harus memastikan supaya situasi seperti ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, 13 Februari 2020.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, pihaknya sudah menerima laporan dari anggota terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
LAPORAN BERKAITAN