Loading...
TR

Gagal samun, suspek libas tangan warga emas dengan pedang sampai terbelah


Polis Kelantan mengesahkan gambar ngeri yang menunjukkan tapak tangan seorang wanita terbelah yang viral di media sosial sejak semalam adalah kejadian yang benar-benar berlaku.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 12.30 tengah malam 1 Disember 2019 di sebuah rumah di Kampung Muka Bukit, Machang, di mana mangsa, wanita warga emas, 59, dilibas dengan pedang oleh penyamun yang memecah masuk rumah mangsa. 

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri selain cedera di bahagian kepala dan bibir. 

"Ketika kejadian, suspek lengkap memakai topeng penutup muka dan bersenjatakan sebilah pedang menyelinap masuk melalui tingkap ke dalam bilik tanpa disedari mangsa. 

"Mangsa yang selepas itu masuk untuk tidur, kemudian menyedari kehadiran suspek dan berlaku pergelutan sebelum mangsa dilibas dengan pedang. Cara suspek menyerang dengan melibas pedang tersebut disiasat sebagai cubaan untuk membunuh," katanya. 

Siasatan awal juga mendapati, mangsa tidak mengenali suspek dan ketika kejadian suspek gagal melarikan sebarang barangan milik mangsa. 

Mangsa dihantar ke Hospital Machang sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk menjalani pembedahan. Mangsa telah dibenarkan pulang dan keadaannya kini stabil. 

Sementara itu, polis sedang giat memburu suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. 

Sumber: Sinar Harian

About Cite Malaya

Powered by Blogger.