Timbalan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin berkata, ia turut disumbang oleh kurangnya sambutan terutama dalam kalangan golongan muda, terhadap lambakan peluang pekerjaaan yang ditawarkan.
"600,000 bukan angka yang sedikit dan saya fikir mungkin bilangan graduan kita tak sampai 100,000. Jadi ada enam kali ganda peluang pekerjaan yang masih tak diisi oleh graduan kita," katanya.
Pada Isnin, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dipetik sebagai berkata, sehingga Ogos lepas, kekosongan pekerjaan yang didaftarkan majikan bagi kategori siswazah ialah 50,326 jawatan manakala 642,798 kekosongan jawatan untuk kategori bukan siswazah.
Dr Mohd Cairul Iqbal juga menasihati graduan agar belajar mendengar dan menerima pembelajaran baharu untuk membolehkan mereka memenuhi kehendak industri.
"Antara keluhan yang diperoleh dari industri adalah graduan mempunyai kepakaran dan sijil yang baik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 yang sangat dibanggakan oleh semua... boleh bercakap tetapi mereka tidak mahu mendengar.
"Mereka juga tidak bersedia untuk belajar sedangkan graduan harus kita keluarkan bukan sahaja mempunyai sijil dan boleh bercakap tetapi bersedia untuk belajar sepanjang zaman. Mereka juga perlu dengar dan memahami apa yang disampaikan namun graduan kita masih lagi mempunyai kekurangan dalam aspek itu," katanya.
Sumber: Bernama