Minuman 'bubble tea' kian popular dan banyak premis yang menjual produk minuman berasaskan bebola ubi kayu atau tapioca itu semakin bertambah.
Namun, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesan banyak kedai yang menjual minuman tersebut yang menggunakan bahan tanpa sijil halal.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, kebanyakan bahan yang digunakan untuk membuat minuman itu diimport dari Taiwan dan pemeriksaan pihaknya mendapati, ia tidak mempunyai logo halal.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat memantau premis berkenaan kerana tindakan mereka yang mengelirukan pengguna khususnya yang beragama Islam.
"Pengguna kebanyakannya terpengaruh dengan persekitaran premis yang bersih, malah ada yang menggunakan tenaga pekerja wanita Islam bertudung bagi mengaburi mata pembeli.
"Apabila minuman 'bubble tea' itu viral, orang ramai tidak berfikir panjang dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan minuman berkenaan. Mereka tidak selidik terlebih dahulu sama ada premis berkenaan mempunyai sijil halal atau sebaliknya," katanya.
Selain itu katanya, JAIS juga mendapati ada pengusaha yang mengiklankan minuman mereka dengan perkataan yang mengelirukan seperti mereka menggunakan bahan halal walaupun tidak mempunyai sijil halal.
"Tindakan pengusaha mempamerkan sijil halal luar negara pada premis masing-masing juga adalah salah kerana ia bukan sijil daripada Malaysia," katanya.
Justeru, JAIS menggalakkan pelanggan membuat aduan sekiranya mendapati ada premis yang menggunakan perkataan halal sewenang-wenangnya.
Setakat ini, hanya minuman jenama Tealive, Coolblog dan Chatime sahaja yang mempunyai sijil halal. Manakala pengusaha minuman 'bubble tea' yang lain masih gagal mengemukakan permohonan.
Sumber: Harian Metro