Padah memuat naik tweet yang menyinggung perasaan kaum Orang Asli berhubung kes kehilangan remaja warga Ireland, pegawai pemasaran didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Tertuduh, Muhammad Zikri Ibrahim, 29, bagaimanapun memilih untuk mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Zikri Ibrahim menggunakan Twitter 'Zikri Armstrong' dengan sengaja memuat naik kenyataan yang mendakwa remaja Ireland yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu dirogol oleh Orang Asli yang tidak mempunyai kad pengenalan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Kuala Lumpur, pada jam 8.30 malam, 14 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh.
Julia menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh, tetapi peguam tertuduh memohon memberi jaminan yang rendah kepada anak guamannya kerana tertuduh bakal berkahwin Disember ini.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN