Loading...
TR

Dada & leher bayi melecur akibat terkena air panas ketika dibawah jagaan pengasuh


Seorang bayi perempuan melecur di bahagian dada dan lehernya akibat terkena air panas yang tumpah ketika di bawah jagaan pengasuh. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.30 pagi kelmarin di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Kuala Terengganu, mangsa, Nur Syafiqa Wardani Rosli terkena air panas selepas bekas yang mengandungi air panas itu jatuh mengenai badannya. 

Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum pengasuh memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa yang kemudian memaklumkan kepada suaminya. 

Rosli Musa, 33, berkata, dia menghantar anak bongsunya itu ke pusat jagaan berkenaan pada jam 8.30 pagi. Kira-kira sejam kemudian, isterinya, Masyitah Ahmad, 32, menelefon dan memaklumkan tentang kejadian yang menimpa mangsa. 

Mangsa dibenarkan pulang setelah diberi rawatan, tetapi ibu bapanya bimbang melihat keadaan mangsa lalu membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Mangsa ditempatkan di wad dan kini dilaporkan stabil. Pasangan itu kini sedang menunggu keputusan pakar sama ada Nur Syafiqa perlu menjalani pembedahan menampal kulit yang melecur atau tidak. 

Menurut penjelasan pihak pusat jagaan itu, Rosli dimaklumkan anaknya pergi ke dapur tanpa disedari oleh pengasuh dan menarik alas meja sebelum bekas berisi air panas itu terjatuh dan tumpah ke badannya. 

Ekoran kejadian itu, Rosli membuat laporan polis di Balai Polis Chendering pada jam 11.29 malam kerana percaya kejadian itu berlaku akibat kecuaian pengasuh. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.